ISTANA KEMERDEKAAN

Raihani Mohd. Said

Asas istana ini
kitalah yang meletakkannya.
Tegak mati robohnya
kitalah yang menentukan.
hanya inilah sanggar
tempat kita menyemai cinta,
hanya inilah pusaka permai yang kita ada.
Istana ini tiangnya adalah sejarah
yang menyimpan seribu rentetan silam.
bermula dari kisah panjang dari Srivijaya
hingga terbinanya sebuah empayar megah
berkuasa!
Empayar yang pernah
menjadi realiti tetapi kini hanya tinggal mimpi.
Pasir Salak, Naning, Semantan adalah saksi
yang menyimpan peristiwa berdarah.
Maharajalela, Dol Said, Datuk Bahaman
mewariskan pada kita api semangat,
menghembuskan pada kita nafas perjuangan,
menginsafkan pada kita
nilai hak dan kebebasan.
Cubalah kita toleh sejenak
akan jerih-perih duka semalam.
Cubalah kita renungkan
dengan mata fikir
serta belajar dari pengalaman erti sehuah kemerdekaan.
Janganlah pula kita biarkan
Ini tujuh keramat
yang pernah mereka benamkan ke dada penjajah
tertikam diri kita kembali.
Jangan pula kita biarkan
anak-anak generasi menumpang di tanah warisan sendiri.
Setelah 446 tahun dipijak
apakah mahu dipijak lagi?
Istana ini dindingnya pembangunan dan kemajuan,
bumbungnya kedamaian dan keharmonian.
satu misi, satu visi,
yang perlu kita sempurnakan.
Di sini rumah kita yang tercantik,
di sini rumah kita yang terbaik.